Data pilihan raya terbuka untuk Malaysia
Maklumat dan data mengenai pilihan raya sepatutnya mudah dicari dan mudah digunakan. Dalam era moden ini, rakyat Malaysia tidak sepatutnya perlu bergantung pada fail PDF dan sumber yang berselerak untuk memahami demokrasi negara mereka sendiri. ElectionData.MY wujud untuk mengisi jurang ini. Ia ialah wajah awam Malaysian Election Corpus (MECo): satu usaha sivik dan akademik untuk mendigitalkan, membersihkan, dan menerbitkan data tentang setiap pilihan raya Malaysia dari tahun 1955 sehingga kini.
Setiap calon, setiap parti, setiap keputusan—dalam satu portal yang membolehkan anda menerokai data pilihan raya Malaysia dengan mudah.
Prinsip teras
01
Bebas dan Berkecuali
ElectionData.MY tidak mempunyai afiliasi politik, pembiayaan institusi, atau penaung yang mempengaruhi cara data dihasilkan atau dipersembahkan. Ia tidak menerima sebarang sumbangan kewangan, menyediakan khidmat perundingan berbayar, atau melakukan apa-apa tindakan (termasuk pengiklanan) yang boleh menjejaskan integritinya sebagai penggubal data pilihan raya bermutu tinggi.
02
Terbuka dan Mudah Diguna
Setiap aksara di portal ini didedikasikan kepada domain awam (CC0): percuma selamanya, untuk apa jua kegunaan, dan pada tahap granulariti setinggi mungkin. Namun, keterbukaan sahaja tidak mencukupi; bagi rakyat umum, kerumitan teknikal menjadi halangan yang besar. Oleh itu, ElectionData.MY berusaha memastikan data bukan sahaja boleh dicapai, tetapi mudah digunakan oleh semua lapisan masyarakat: penyelidik, wartawan, pembangun, dan yang penting sekali, pengundi.
03
Kualiti Tanpa Kompromi
Pembinaan portal ini memerlukan keputusan lama didigitalkan secara manual, peta sempadan dilakar dengan teliti, dan beratus jam diluangkan untuk pengesahan yang rapi. ElectionData.MY berpegang pada etos bahawa kualiti data adalah mustahak, supaya pengguna (manusia dan juga AI) mempunyai sumber yang boleh dipercayai.
Tawaran terbuka kepada SPR
ElectionData.MY membuktikan bahawa data pilihan raya boleh diterbitkan dengan cara yang moden dan murah. Secara idealnya, SPR sendiri yang akan melaksanakan fungsi ini, lebih-lebih lagi kerana mereka adalah pemilik serta sumber absah bagi seluruh data pilihan raya.
Realitinya, reformasi institusi mengambil masa. Maka, atas semangat membina negara, saya membuat tawaran tanpa syarat kepada SPR: sama ada untuk membantu SPR membina dan menyelenggara platform data terbuka rasmi, atau untuk bekerjasama secara langsung dengan SPR supaya ElectionData.MY menjadi penyedia data terbuka rasminya (official open data partner). Dalam apa jua bentuk, tawaran ini adalah pro bono sepenuhnya. Tiada syarat tersembunyi, dan tiada tarikh luput.
Harapan jangka panjangnya mudah: agar platform ini akhirnya tidak lagi diperlukan, atau wujud hanya sebagai pelengkap kepada portal rasmi.
Selagi diperlukan, kerja ini akan diteruskan.
Thevesh Theva
Kurator
ElectionData.MY